Entry pertama untuk tahun ini... Selepas sekian lama aku tidak menulis; boleh dibilang berapa kali aku masuk dan mencoretkan cerita-cerita yang tidak seberapa disini... Kesian laman blog aku, dah jadi macam tukun tiruan dah... Tidak dikemaskini dan dijaga seperti mana dahulu... Entah mengapa aku kurang ligat menulis semenjak kebelakangan ini... Mungkin kerana sifat malas sudah mula menguasai diri...
Hari ini, 9 Februari 2010; aku kembali menulis seperti sediakala... Harapan aku, ia bukan sekadar omongan biasa... Kembaliku disini adalah untuk menulis cerita-cerita dan kisah yang berlaku dalam kehidupanku, perkara yang berlegar-legar di sekelilingku dan sebagainya buat renungan dan pedoman kepada teman-teman yang aku sayangi...
"Gelap"... Itulah tajuk entry aku kali ini yang ingin aku kongsikan bersama anda semua... Aku sengaja memilih tajuk ini bersesuaian dengan apa yang aku ketahui ketika mendengar siaran radio ketika dalam perjalanan ke tempat kerja... Kisah kali ini berkisar mengenai seorang remaja yang telah hilang pandangan sebelah mata dan bakal buta sepenuhnya tidak lama lagi... Ketika aku kusyuk memberikan perhatian terhadap apa yang sedang diperkatakan, fikiranku melayang seketika... Aku terbayang bagaimana sekiranya aku yang berada di tempat remaja tersebut... Adakah aku sanggup untuk mengharunginya? Bagaimana pula anda?
Aku akur dan redha sekiranya ketentuan Tuhan menentukan bahawa aku akan kehilangan pancainderaku... Tiada apa yang mampu aku lakukan selain daripada menerima dengan hati terbuka... Jika Allah nak tarik nikmat yang aku miliki selama aku hidup ini, Dia boleh lakukan dalam sekelip mata sahaja kerana Dia yang Maha Berkuasa yang menentukan segala-galanya... Namun, aku amat-amat bersyukur kerana setakat ini, aku masih lagi mampu memiliki pancaindera yang sempurna tanpa sebarang masalah... Cuma mata dah mula rabun sikit; maklumlah, dah tua... Hahahaa... Betapa bertuahnya aku jika dibandingkan dengan orang lain yang kurang bernasib baik...
Adik Syamsul Kifli baru sahaja berusia 19 tahun... Sudahpun kehilangan sebelah matanya dan bakal buta sepenuhnya tidak lama lagi... Aku cukup tersentuh apabila mendengar kisah hidupnya akibat daripada apa yang menimpa dirinya ini... Sudahlah mata akan buta, kehidupannya ibarat layang-layang putus tali... Dia tinggal bersama ayahnya yang juga buta penglihatan dan terpaksa menanggung keluarga... Bayangkan dengan kudrat yang ada dan ditambah dengan 'kekurangan' yang tidak pernah dipintanya, dia kini terpaksa mengharungi kehidupan yang belum tentu terjamin buatnya...
Luahan hatinya dikongsi bersama pendengar radio dan DJ (merupakan seorang yang prihatin dan penyayang) telah menemurahkan adik Syamsul untuk kisah yang lebih lanjut... Dia begitu bimbang dengan apa yang bakal dilaluinya... Yelah, siapa yang tidak bimbang jika masa hadapan semakin lama semakin pudar; belum tentu ada sinar yang menanti di hadapan tatkala banyak dugaan yang cabaran yang bakal ditempuhi dengan kekurangan yang ada... Aku cukup simpati dengan adik Syamsul... Jauh disudut hatiku, aku memohon dan berharap agar dapat membantunya mengharungi semua ini...
"Berat mata yang memandang, berat lagi bahu yang memikul"... Benarlah pepatah orang-orang tua... Hanya orang yang mengalaminya sahaja tahu bagaimana rasanya... Orang lain hanya mampu melihat dan memerhati sahaja... Selalunya kita akan rasa sayu dan simpati kepada mereka... Aku juga cukup kagum dengan respon yang diberikan oleh pendengar yang lain... Apa yang menarik perhatian aku ialah seorang pendengar yang merupakan OKU telah memberikan pandangan dan semangat kepada adik Syamsul... Memang benar dan aku amat bersetuju dengan pandangan dan komen dari pendengar tersebut... Hilang penglihatan bukan bermaksud hilang segala-galanya... Masih ada sinar yang menanti dan terpulang kepada setiap individu itu sendiri untuk mendapatkannya...
Pendengar tersebut juga merupakan seorang yang buta matanya akibat daripada kemalangan yang menimpa dirinya sewaktu dia masih kecil... Dia hilang sebelah mata dan lama kelamaan buta kedua-dua belah mata... Namun atas usaha dan tawakkal serta hati yang cekal, dia berjaya dalam kehidupannya... Bayangkan, walaupun buta tetapi dia tidak pernah sesekali mengalah... Kini, atas berkat usahanya itu dia berjaya dalam hidupnya... Aku cukup kagum bila dia telah maklumkan kepada DJ radio bahawa kini dia bertugas di Malaysia Airlines apabila soalan mengenai kerjaya diajukan kepadanya...
Moga-moga adik Syamsul mendengar apa yang dibualkan didalam siaran radio sebentar tadi... Aku berdoa agar adik Syamsul akan mengambil iktibar dan seterusnya merancang perjalanan masa hadapannya...
Apa yang aku dengar tadi memberikan kesedaran buat diriku... Pada kita-kita yang masih lagi mempunyai pancaindera ini, jagalah sebaik-baiknya... Jangan sampai ianya 'hilang' pula... Sebagai seorang manusia yang kerdil disisiNya, seharusnya kita bersyukur atas nikmat kurniaanNya kerana sekali ianya hilang, selama-lamanya ia akan hilang... Tiada gantinya lagi...
Fuhhh... Lama tu aku tidak menjenguk dan menulis disini... Kali terakhir aku mengemaskini pada hari raya yang lepas... Ni dah lepas raya haji dah... Hehehe...
Bila aku belek-belek balik laman blog aku, boleh dibilang berapa kali aku menulis dan mengemaskini laman yang aku cipta sejak 3 tahun yang lepas... Entri pun, cuma baru mencecah 500 lebih; tidak sebanyak mana jika dibandingkan dengan rakan-rakan yang lain... Mereka semua begitu rajin; boleh dikatakan setiap hari pasti akan ada entri terkini... Alangkah bagusnya begitu...
"Apa sudah jadi???... Adakah sindrom 'malas' sudah melanda atau aku sekadar tidak mempunyai masa atau minat yang cukup untuk menulis lagi?..." Jika tiada entri, pasti ada yang bertanya, "bila nak post cerita dekat blog?"... "lamanya tak update blog"... "apa cerita terbaru" dan sebagainya... Terasa serba salah juga...
Jika satu ketika dulu, aku boleh menghasilkan lebih dari dua entry dalam sehari, mengapa kini dalam sebulan, cuma satu atau dua entry sahaja?... Itu pun, kalau aku "berdaya" untuk membuka laman Blogger ini... Hmmm...
Mungkin kerana tahun ini merupakan tahun sibuk aku atau mungkin kerana terlalu banyak sangat perkara atau aktiviti yang berlaku dalam kehidupan seharian membuatkan aku 'terlupa' untuk mencoretkannya disini... Entahlah, mungkin sekarang ini aku lebih suka mengamalkan sikap "menyendiri" dan membawa diri jika ada apa-apa yang berlaku daripada bercerita dan berkongsi dengan sesiapa... Prinsip "berdiam itu lebih baik" lebih jelas dan ketara sekarang ini dan ianya serba sedikit mengubah cara dan pendirian aku... Harap-harap ianya tidak seserius mana...
Tahun ini merupakan tahun yang penuh dengan kegembiraan, kedukaan, keseronokkan dan juga kesengsaraan jika dibandingkan dengan tahun lepas... Banyak perkara yang dilalui dan bila diingatkan kembali, aku cukup tidak sangka aku boleh sampai ke tahap ini... Alhamdulillah, semuanya telah berlalu dan aku bersyukur aku berjaya mengharunginya walaupun ada ketika aku terpaksa melaluinya bersendirian... Aku sentiasa ingat, setiap yang datang itu adalah ujian dariNya yang menilai dan melihat sejauh mana teguhnya pendirian kita terhadap apa yang kita lalui... Asalnya, itulah asam garam kehidupan, bukan?... Apa yang penting ialah iktibar dan pengajaran yang dapat kita ambil dari apa yang kita lalui... Jika sesuatu itu tidak elok dan ianya datang dari kita, cepat-cepat kita perbetulkan... Apa yang baik itu, kita kekalkan... Itulah pentingnya penilaian dalam diri supaya kita tidak terus melakukan kesilapan yang sama setiap masa...
Tinggal beberapa hari sahaja lagi, kita akan meninggalkan tahun 2009 ini... Lembaran baru bakal dibuka tidak lama lagi... Aku cuma berdoa dan berharap agar aku berjaya menutup jurnal 2009 ini dengan baik tanpa sebarang perasaan yang perlu dibawa ketahun hadapan... Bila diimbas kembali perjalanan tahun 2009 ini, masih terdapat beberapa perkara yang tertunggak dan perlu dijelaskan... Entah sempat ke tidak, aku tidak pasti... InsyaAllah, apa yang mungkin dan dapat aku lakukan ialah dengan mencuba sedaya upaya dan sebaik mungkin untuk melunaskannya sebelum aku menjejakkan kaki ke tahun baru... Penilaian segera perlu dilakukan di kala masa masih lagi ada... Jika tidak, sampai bila-bila pun tidak akan tertunai...
Nota kaki: - Terima kasih kepada anda yang sudi melawat laman blog ini walaupun tiada entri dikeluarkan sejak September yang lepas... Paling aku terharu, ada juga yang sanggup "follow" laman ini walaupun aku lihat entri-entri yang aku keluarkan tidaklah sebaik mana... Banyak yang merepek sahaja... Terima kasih kepada anda (pelawat dan pembaca) dan aku hargai usaha kalian...
Petang Jumaat lepas, aku ke rumah makcik aku di Taman Pelangi Semenyih selepas waktu kerja... Niat aku cuma satu; menghadiri majlis rumah terbuka anjurannya... Semuanya telah di rancang dari awal dan aku telah berjanji dengannya bahawa aku akan menghadiri majlisnya itu...
Kira-kira pukul 5.00 petang, aku bertolak dari pejabat menghala ke bandar Kajang melalui Lebuhraya Cheras-Kajang... Keadaan jalan agak sesak walaupun hari masih lagi dalam musim cuti raya dan cuti sekolah... Mungkin ramai yang pergi berjalan raya agaknya... Walaupun sedikit sesak, namun ia masih lagi bergerak... Cuma agak perlahan sedikit...
Aku sampai di rumah makcik lebih kurang 6.45 petang... Keadaan agak redup kerana hari menjelang senja... Suasana amat tenang dan damai... Aku keluar dari perut kereta dan terus menuju kearah rumah makcikku... Agak pelik juga, keadaan agak sunyi sepi seolah-olah tiada apa-apa... Mungkin majlis sudah selesai... Risau juga sebab aku datang bersendirian... Rasa malu pula datang rumah orang tanpa berteman... Dah lah pulak tu, dah dekat nak Maghrib!...
"Manalah semua orang ni???... Ada ke tidak 'open house' ni???..." bisik hatiku
Setelah menunggu beberapa minit, maka sampailah ahli keluargaku yang lain-lain... Rupanya, mereka semua bertolak agak lewat dari rumah... Di tambah pula dengan keadaan jalan yang sesak... Seorang demi seorang ahli keluargaku muncul di rumah makcikku... Keadaan bertukar riuh apabila hampir kesemua sepupu sepapat sudah berkumpul... Rasa seronok bila melihat gelagat masing-masing...
Begitu meriah dan indahnya suasana apabila kami berkumpul satu keluarga... Hampir penuh rumah makcikku... Dari keluarga Pak Long, Mak Lang, Mak Encik, Mak Uda sampai lah ke Pak Su... Semuanya ada... Pulak tu, anak masing-masing dah besar panjang!... Dah jadi anak dara dan teruna dah... Tapi perangai tak ubah macam budak-budak sekolah rendah... Bising ya amat!!!... Maklumlah, peluang dapat berkumpul sekaligus begini bukannya boleh dapat selalu... Cuma ketika Hari Raya sajalah waktu yang ada... Kalau hari-hari biasa, masing-masing sibuk belajar di kolej dan universiti masing-masing...
Bila aku duduk meja makan sambil memerhatikan mereka semua, hatiku berbunga gembira... Alangkah baik dan seronoknya jika arwah Mak Long, arwah Pak Lang, arwah nenek dan atuk ada bersama... Mesti keadaan bertambah lebih gamat dan meriah... Aku rindu dengan suasana ketika umurku 8-9 tahun dulu... Masa arwah nenek masih kuat berjalan; datang berhari raya kerumahku... Dulu masa arwah Mak Long ada, aku teringat suaranya memanggil kami adik beradik... Mak Long memang seorang yang tegas dan sedikit garang tetapi hati dan sifatnya sangat ramah dan lemah lembut... Dalam keluarga, Mak Long selalu menjadi contoh kepada makcik-makcik yang lain dan merupakan tempat mak dan adik beradik yang lain merujuk kalau ada apa-apa... Tetapi, itu semua tinggal kenangan kerana Mak Long telah pergi selama-lamanya... Rasa sayu bila mengenangkan semua itu...
Nenek pula suka memanjakan cucu-cucunya... Aku tidak boleh lupa ketika aku kecil dahulu, apabila nenek datang kerumah, akulah orang pertama yang berlari kearah nenek; memeluk dan menarik tangannya... Nenek tak pernah marah malah terus menyambut aku dengan gelak tawanya, seraya terus mencium pipiku yang putih gebu ketika itu... Begitulah nenek yang merupakan seorang yang penyayang... Bila hari nenek meninggal, terasa hatiku sedih yang teramat sangat... Namun, aku redha kerana dia sudah lama tiada...
Fikiranku melayang jauh... Aku tersedar apabila mak menegur dan mengajak aku untuk menjamu selera... Juadah sudah lama terhidang menanti untuk dijamah... Sambil menjamu selera, kadang kala kedengaran ketawa usik mengusik sepupu aku... Tak habis-habis mereka ini semua bergurau senda... Ada sahaja celoteh masing-masing...
Tanpa aku sedari, hampir 5 jam aku berada di rumah makcikku... Apabila jarum jam menunjukkan hampir pukul 11 malam, masing-masing beransur pulang... Aku pun dah penat dan perlu menghantar Mak Lang dan anak-anaknya balik ke rumah... Mereka datang dengan menaiki KTM Komuter dari rumah... Jadi, eloklah aku tumpangkan mereka kerana rumah kami terletak agak berdekatan... Kereta aku pun tidak ada sesiapa, cuma aku seorang sahaja... Kurang-kurang, adalah teman ketika dalam perjalanan pulang...
Aku rasa sedikit janggal apabila ramai rakan-rakanku mengajak aku keluar beraya ketika waktu makan tengahari tadi...
Bukan aku tidak mahu ikut, bagi aku, kalau hendak pergi beraya ke rumah kawan-kawan biarlah ketika hari cuti atau hari tidak bekerja... Barulah terasa kemeriahan dan puas berjalan... Kalau pergi waktu bekerja ni, masa sedikit terhad dan mungkin terkejar-kejar kerana tempoh yang agak singkat dan tidak mencukupi... Faham-faham sajalah, kalau dah bertandang ke rumah kawan-kawan, pasti banyak berborak... Bermacam-macam cerita hendak dikongsi bersama... Itu pun sudah memakan masa dekat sejam... Hehehehee...
Apapun, tengahari tadi aku sempat beraya ke rumah kawan sepejabat aku yang terletak di Kampung Kerdas, Gombak... Bayangkan, dari pejabat aku yang terletak di Bangsar, sanggup kami meredah jalan menuju ke Gombak sana... Nasib baik kereta tak banyak dan jalan tidak sesak seperti hari biasa... Kalau tidak, memang tak datanglah jawabnya...
Rasa seronok dan gembira kerana ketibaan kami disambut mesra tuan rumah dan ahli keluarganya... Kami memang tak tunggu lama di rumah kawan aku ni sebab nak kejar masa... Datang-datang je, terus sambar kuih raya... Sampaikan tuan rumah sendiri pun kami tak jemput... Punya muka tak malu betul aku dan kawan-kawan aku ni... Hehehehee...
Subhanallah... tengoklah kawan aku yang sorang ni makan... Ish.. ish.. ish... Heheheee... Sorry, gambar gelap sikit, pakai kamera PDA je...
Tuan rumah memang sudah bersiap sedia dengan kedatangan kami yang cuma berempat ini... Kami dihidangkan dengan laksa penang (sedap woo.... aku sampai tambah dua kali...) dan pulut yang dimakan bersama serawa (kuah) durian... Memang bila dapat je makanan, terus masing-masing sunyi sepi... Tak pandang kiri kanan; hanya memberi tumpuan sepenuhnya pada makanan yang berada di depan mata... Betul-betul lapar kami semua ni... Heheheeee...
Bila dah selesai, masing-masing pun dah macam ular sawa... Kekenyangan sampai mata pun tak boleh nak buka... Aku tak kisah sangat sebab bukan aku yang kena bawa kereta... Kalau mengantuk pun, aku tidur saja dibelakang... Driver aku je yang aku risau, takut tengah jalan dia terlelap, selamatlah kami semua... Tahu-tahu sajalah penangan pulut dengan kuah durian tu... Dia pula, sampai hentam dua tiga mangkuk!...
Apa-apa pun, aku berpeluang beraya hari ini walaupun aku sibuk dengan kerja-kerja... Tak sangka pula dalam kesibukan itu, aku sempat lagi nak pergi beraya... Kebetulan kerana orang masih ramai bercuti dan berada di kampung halaman masing-masing... Jadi, tiada masalah kalau aku dan kawan-kawan kalau hendak keluar... Bermula minggu hadapan, keadaan akan kembali sibuk seperti sedia kala... Pastinya ketika itu, aku jadi bosan untuk mengharungi semua ini...
Hari ini merupakan hari keempat bulan Syawal... Sedar atau tidak, sudah empat hari kita menyambut Hari Raya Aidilfitri... Begitu pantas masa berlalu meninggalkan kita... Terasa takbir raya masih lagi terngiang-ngiang di cuping telinga seolah-olah baru semalam ianya dilaungkan... Begitulah kehidupan kita sekarang... Kita tidak sedar apa yang berlaku dan meneruskan kehidupan seperti sedia kala... Bila kita teringat dan tersedar, kita sudah pun berada di satu masa yang lain...
Hari ini, aku sudah mula menyambung tugasku seperti sedia kala... Biarpun ramai rakan-rakanku yang sedang bercuti dan pulang ke kampung halaman bersama ahli keluarga dan sanak saudara menyambut Syawal, aku rasa keadaan di pejabat aku masih seperti biasa... Bezanya, suasana agak sedikit lengang dan sunyi sepi... Adalah beberapa kerat yang datang bekerja... Telefon pun kurang berbunyi; mungkin kerana pelanggan memikirkan ramai yang sedang bercuti minggu ini... Eloklah juga, tak perlu aku susah-susah nak terkejar-kejar mengangkat telefon... Kehidupan aku pun aman tenteram... Alangkah bagusnya jikalau keadaan ini berterusan sampai bila-bila... Tetapi itu mustahil !...
Adakala, aku hilang semangat untuk buat kerja... Bukan kerana aku tidak mahu membuat kerja-kerjaku, tetapi 'mood' bercuti masih lagi melekat dalam diri... Aku perlu 'adjust' diri aku untuk beberapa hari ini agar aku kembali seperti sedia kala, InsyaAllah... Aku disapa oleh rakanku... Dia ajak aku berbual untuk seketika... Banyak cerita yang kami bualkan; ada yang berkisar tentang cuti, tentang hari raya, tentang aktiviti raya dan ada juga cerita mengenai kerja-kerja di pejabat... Lama juga kami berbual sehingga aku terleka bahawa ketika itu aku dibayar gaji untuk melakukan kerja-kerja...
Aku tertarik mengenai satu topik yang dibangkitkan rakan aku ni... Dia banyak mengomel mengenai perkembangan dalam pejabat... Kebanyakkan berkisar mengenai ketidak adilan pihak atasan dalam menguruskan pentadbiran yang dianggap sebagai berat sebelah... Politik terlalu kuat dan amalan 'pilih bulu' sangat-sangat berleluasa... Aku bukan tidak bersetuju dengan pendapat dia, tetapi apabila melihat apa yang berlaku ketika ini, aku memahami dan menerima kenyataan yang dikeluarkan dia adalah benar... Nampak sangat pengurusan menggunakan politik dan kuasa veto masing-masing untuk menaikkan beberapa orang tertentu dalam syarikat... Padahal, ramai lagi calon-calon lain yang aku dan rakan-rakan rasakan jauh lebih layak...
Pelbagai alasan diberikan apabila rakan-rakan aku memohon agar dinaikkan pangkat, dinaikkan gaji dan sebagainya... Namun setiap rayuan dan permintaan dianggap remeh dan dibiarkan begitu sahaja... Ibarat seperti mencurah air di atas daun keladi... Aku sendiri tidak faham, mengapa perlu kami dilayan sebegitu rupa???... Apa beza antara kami dengan yang lain???... Bukankah pekerjaan yang kami lakukan selama ni sama sahaja jika dibandingkan dengan mereka-mereka yang menjadi 'kesayangan' pihak pengurusan???... Malah, ada kerja yang kami lakukan itu jauh lebih banyak dan lebih baik berbanding yang lain... Tidakkah kami wajar diberi balasan yang setimpal dengan apa yang telah dilakukan???...
Sebelum ini, aku telah menerima banyak pandangan dan cadangan dari mereka yang jauh berpengalaman... Ramai yang menasihatkan aku supaya memikirkan masa hadapan dan beredar dari tempat aku sekarang... Kadang kala pernah juga aku terfikir untuk melakukan sedemikian tetapi peluang dan jalan itu masih lagi samar-samar... Aku tidak nampak peluang yang ada dan kerana terlalu banyak komitmen membuatkan aku berfikir dua tiga kali... Aku tidak mahu menempah masalah... Cukuplah dengan apa yang aku ada buat masa ini...
Hendak beralih ke peringkat yang lebih tinggi bukan senang... Tanpa cara yang betul, kita mungkin akan menghadapi masalah di kemudian hari... Oleh itu, penting bagi aku untuk melihat kesemua aspek sebelum merancang apa-apa... Memang benar, kalau nak tunggu sampai bila?... Tetapi kalau aku nak naik cepat, kejar itu dan ini, apa yang akan aku terima kemudian hari???... Buatnya kalau aku lompat tu bakal memberikan masalah besar untuk aku, tidak berguna juga kan???... Aku juga percaya, jika sudah rezeki, pasti tidak akan kemana-mana... Aku sudah berusaha dan mencuba yang terbaik... Setiap kali kaki ini melangkah masuk ke ruang pejabat, aku tadahkan tangan memohon kepada Allah agar dilapangkan dadaku dan dimurahkan rezeki selalu...
Perkembangan terkini yang aku ketahui, kemungkinan tiada kenaikan gaji untuk tahun hadapan... Jika ada pun, hanya orang-orang terpilih sahaja yang akan menerimanya... Persoalannya, siapakah orang-orang yang terpilih itu?... Sekali lagi ia menjadi tanda tanya di dalam fikiran masing-masing... Selama aku bekerja di dalam syarikat ini, tidak pernah aku merasakan seteruk ini... Sehingga kenaikan gaji yang boleh dikatakan tetap sepanjang tahun itu boleh jadi tidak menentu... Sudahlah bonus yang diterima ala kadar (ibu pejabat dapat lebih daripada apa yang anak syarikat terima), faedah yang lain juga belum tentu akan kami perolehi seperti sedia kala... Sekarang sudah tidak macam dahulu, segala tidak tentu dan tidak tetap... Moga-moga apa yang patut diperolehi dapat diperolehi... Walau apapun, aku tetap bersyukur dengan apa yang aku perolehi di masa ini...
Selepas seharian semalam aku dan keluarga melayan tetamu yang datang berkunjung ke rumah, kini tiba giliran kami pula pergi beraya ke rumah sanak saudara... Kebetulan, banyak rumah sanak saudara aku terletak di sekitar Kuala Lumpur dan tidak menjadi masalah kepada aku untuk membawa ahli keluargaku bertandang ke rumah mereka...
Aktiviti hari ini bermula apabila hampir ke semua pakcik-pakcik dan makcik-makcik aku datang ke rumah aku... Agak terkejut juga kerana pada hari raya kedua, biasanya mereka semua berada di kampung halaman mentua masing-masing... Pada tahun lepas pun begitu; selalunya selepas hari raya ke-3, barulah mereka datang ke rumah untuk beraya... Nasib baik juga lah mak dah bersiap sedia malam tadi; mengukus ketupat segera dan menyiap juadah yang patut... Kalau tidak, memang mereka semua datang makan kuih raya sahaja lah...
Koleksi kuih raya aku... Semuanya dibuat dan dihasilkan sendiri kecuali kerepek-kerepek yang dibeli di pasar tani... Ada juga biskut yang dihadiahkan oleh kawan-kawan...
Apa yang membuatkan aku rasa geli hati, dalam banyak-banyak persiapan, aku tidak sedar bahawa ketulan ais didalam peti sejuk sudah kehabisan... Sudahlah mereka semua datang ketika matahari elok terpacak di atas kepala; keadaan sekeliling amat panas sekali... Rumah aku sendiri pun sedikit berbahang (biasalah, rumah kampung je...) Bila mereka masuk ke rumah, masing-masing sibuk mencari air batu untuk membasahkan anak tekak dan menghilangkan dahaga... Aku yang pada mulanya tidak mengetahui, dengan selamba membuka peti ais (ice box) dan bila aku lihat tiada ais didalamnya, apa lagi; menggelabah la kejap... Terus aku membebel pada adik beradik aku yang sedang sibuk di dapur...
"Tulah kalian, suka sangat letak junk food dalam 'ice box' nih... ni dah penuh sampai air batu pun tak boleh nak buat!!... lain kali, jangan beli benda yang merepek-repek nih..." leter aku pada adik-adik aku... Masing-masing diam membisu; takut kena sembur dengan aku sekali lagi...
Aku capai kunci kereta dan terus bergegas untuk mencari ais ketul di kedai yang berhampiran... Faham-fahamlah kan, hari raya mana ada kedai yang buka... Yang buka pun kedai 24-jam (7-Eleven)... Pulak tu, cawangan yang terhampir dengan rumah aku pula dekat Sentul dan Gombak sana... Nak pergi pun, adalah dalam 15-20 minit memandu (dengan kadar kelajuan 70-80 km/j)... Berpusing-pusinglah aku semata-mata hendak mencari ais... Aku pun tiada pilihan dan terpaksa juga pergi cari untuk bekalan buat tetamu yang datang nanti...
Sampai sahaja di 7-Eleven, seperti yang aku jangka, semua ketulan ais telah habis disambar awal-awal... Yang tinggal cuma saki baki yang melekat pada peti ais tersebut... Terpaksalah aku bergegas mencari di tempat lain... Dari Sentul, aku ke Gombak... Kemudian ke Genting Kelang... Bila semuanya sudah kehabisan stok, aku bekejar pula ke Desa Setapak... Kedua-dua cawangan Desa Setapak pun sudah kehabisan stok... Bayangkan kawasan penempatan Cina pun, ais boleh habis!... Aku teruskan pencarian ke Wangsa Maju dengan harapan stok ais ada di situ... Dan mujurlah cawangan 7-Eleven di Seksyen 1 masih mempunyai stok ais lagi... Mungkin sebab 7-Eleven tu agak tersorok sedikit dan tak ramai yang datang ke sana membeli barangan...
Aku pulang ke rumah dan bila aku sampai, masing-masing sudah selesai menjamu selera... Tak apalah, ais yang aku beli ini boleh digunakan untuk esok, InsyaAllah... Aku terus masuk ke bilik dan bersiap untuk pergi beraya di rumah saudara yang lain pula... Destinasi seterusnya ke Batu Caves; rumah Mak Lang aku... Sempat juga dia balik ke rumah tadi (sebelum tu dia datang beraya di rumah aku...) menyiapkan apa yang patut... Kami sampai pun dah petang dan menghabiskan masa dalam sejam dua disana... Selepas itu, aku dan keluarga berangkat pula ke Ampang untuk beraya di rumah makcik di Lembah Jaya... Setibanya aku di sana, hari sudah Maghrib dan kami menghabiskan masa beramah mesra sehinggalah jam 10 malam... Faham-fahamlah kan, kalau dah jumpa saudara mara... Macam-macam cerita hendak dikongsi bersama... Rasa seronok kerana aku dapat berjumpa dengan sepupu sepapat aku... Walaupun mereka masih muda remaja, tetapi keletah mereka cukup mencuit hati... Tu belum campur dengan anak-anak Mak Su aku lagi... Kalau tak, memang riuh la kemana sahaja kami pergi...